Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang tujuan pemberian kerja rumah. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kerja rumah ialah tugasan yang perlu disiapkan di luar jadual waktu tetapi tidak semestinya dibuat di rumah. Kerja rumah mempunyai unsur pembelajaran kendiri. Oleh itu, kerja rumah diberikan supaya unsur ini dapat dipupuk dalam kalangan diri murid. Kerja rumah juga menjadi aktiviti pengukuhan bagi pembelajaran di dalam kelas. Justeru, kerja rumah perlu disiapkan
 oleh murid secara individu atau kumpulan. Namun, perkara ini telah 
menimbulkan rungutan kerana kerja rumah dikatakan telah 'merompak' masa 
anak-anak untuk berkembang dari segi jasmani. 
Selain
 itu, kerja rumah dikatakan menyusahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa 
menghabiskan banyak masa untuk membimbing anak-anak membuat kerja rumah.
 Namun, perlu diingat bahawa kerja rumah sememangnya diberikan bagi 
membuka peluang kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain bersama dengan anak-anak semasa mereka belajar. Kerja
 rumah juga dapat memberikan gambaran kepada ibu bapa tentang 
perkara-perkara yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah. 
 
Menurut kajian, antara rahsia kejayaan seseorang murid adalah apabila sentiasa ada tugasan yang dilakukannya tentang sesuatu yang dipelajari di sekolah. Dengan itu, kerja rumah merupakan satu daripada usaha yang boleh menyebabkan murid berjaya kerana mereka sentiasa belajar dan membuat latihan. Di samping itu, guru memberikan latihan tambahan sebagai kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan multimedia seperti televisyen, komputer, Internet dan sumber-sumber maklumat lain seperti buku, majalah dan akhbar pula menjadi sumber sokongan yang penting bagi murid membuat
 kerja rumah. Oleh itu, kerja rumah yang diberikan, diharapkan dapat 
membantu murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber 
maklumat yang tidak diperoleh di bilik darjah.       
Pemberian kerja rumah dibuat dengan mengambil kira faktor masa senggang murid. Kerja rumah diberikan agar mereka dapat mengisi masa senggang mereka dengan aktiviti yang berfaedah yang menjurus ke arah kecemerlangan mereka dalam bidang pelajaram        
Oleh
 hal yang demikian, walaupun terdapat pelbagai pandangan tentang kerja 
rumah, namun hakikatnya kerja rumah banyak memberi kesan positif kepada 
murid-murid.
 (Dipetik dan diubah suai daripada
'Pengurusan kerja Rumah yang Elektif’ 
oleh Dr. Hj. Mohammed Sani bin Hj. Ibrahim, 
Pendidik, Bil 14,2005) 
Contoh Jawapan 1.
Pemberian
 kerja rumah bermotif untuk memupuk unsur pembelajaran kendiri dalam 
sanubari murid. Kerja rumah turut berperanan sebagai aktiviti pengukuhan
 bagi pembelajaran di dalam kelas. Tambahan pula, kerja rumah memberi 
peluang keemasan kepada ahli-ahli keluarga untuk bersama dengan 
anak-anak semasa mereka belajar. Malahan, kerja rumah merupakan platform
 kejayaan murid-murid dalam pelajaran kerana banyak latihan yang 
dilakukan. Lebih-lebih lagi, kerja rumah diberikan bertujuan untuk 
mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah yang mampu 
mendorong mereka berjaya dalam pelajaran.
( 75 patah perkataan )
        
Contoh Jawapan 2.
Tujuan
 pemberian kerja rumah adalah untuk mengukuhkan pembelajaran murid di 
dalam kelas. Kerja rumah turut member gambaran kepada ibu bapa tentang 
perkara yang dipelajari oleh anak mereka di sekolah. Seterusnya, kerja 
rumah merupakan satu inisiatif yang boleh menyebabkan murid berjaya. 
Guru memberikan kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada 
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerja rumah juga dapat membantu 
murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber maklumat 
yang tidak diperoleh di bilik darjah.
( 71 patah perkataan )
 
No comments:
Write comments